PUTRAJAYA: Kerajaan masih mengkaji kemungkinan menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah, walaupun pada dasarnya program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kajian itu dibuat dalam konteks mengekalkan dasar MBMMBI tetapi pada masa sama, menimbang sama ada tawaran atau pilihan boleh dibuat kepada mana-mana sekolah yang berminat menggunakan bahasa Inggeris tanpa menimbulkan masalah."Apa yang kita utamakan dalam dasar baru ini ialah bagaimana kita nak perkukuh bahasa Inggeris. Ramai ibu bapa berminat pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris, sebab itu apabila ada saranan sebegitu, ada pihak meminta sama ada kita boleh beri kelonggaran.
"Perkara ini masih pada peringkat kajian oleh sebuah jawatankuasa kecil yang ditubuhkan dan dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud," katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011, di sini semalam.
April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan mendapatkan maklum balas ibu bapa sebelum memutuskan pelaksanaan PPSMI di sekolah selain mengkaji kemungkinan subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah terpilih tanpa mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran.
Beliau berkata, buat masa sekarang, tumpuan diberi terhadap kaedah memperkukuh pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah.
Katanya, pelajar didapati kurang kemampuan menguasai bahasa Inggeris, sekali gus memerlukan kajian lebih mendalam kerana kerajaan tidak mahu melaksanakan sesuatu dasar tetapi tidak mempunyai guru terlatih bagi menjayakannya dan akhirnya tidak mencapai apa yang diharapkan.
Justeru, katanya, kerajaan perlu mengambil pandangan menyeluruh kerana cadangan yang bagus pun tidak bermakna jika tidak ada kemampuan melaksanakannya, seperti PPSMI , yang diiktiraf bagus tetapi kebanyakan sekolah tidak ada guru yang cukup fasih bahasa Inggeris bagi mengajarnya.
sumber artikel : berita harian online
No comments:
Post a Comment