Friday, June 18, 2010

pengedar dadah kini guna bom

Oleh ANGELINA SINYANG
jenayah@utusan.com.my

KAJANG 17 Jun - Sindiket pengedaran dadah kini semakin berani apabila bukan sahaja menggunakan senjata api bahkan bom tangan untuk melindungi kegiatan jenayah mereka.

Dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Koperasi Cuepacs, semalam, polis bukan sahaja merampas dadah, malah tiga butir bom buatan sendiri.

Dalam serbuan pukul 5.30 petang itu, empat anggota sindiket pengedaran dadah termasuk sepasang kekasih berusia 20 hingga 39 tahun ditahan.

Turut dirampas pelbagai jenis dadah iaitu 12 gram syabu, 18 biji pil eramin 5 (3.34 gram) dan tujuh biji pil ekstasi (2.39 gram).

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, polis juga merampas dua pucuk pistol buatan sendiri, dua kelopak peluru dan dua butir peluru di dalam rumah berkenaan.

Katanya, turut dirampas 15 unit telefon bimbit, parang (empat), telefon bimbit yang diubah suai menjadi alat renjatan elektrik (tiga), rangkai kunci (tiga), alat penimbang (dua), komputer riba (dua) dan masing-masing satu cota besi, walkie-talkie, kereta Volvo dan wang tunai berjumlah RM27,578.

"Kegiatan itu terbongkar setelah sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kajang menahan seorang suspek di tepi jalan di Taman Koperasi Cuepacs.

"Suspek membawa polis ke sebuah rumah kedai berdekatan dan hasilnya, polis menahan tiga lagi rakannya bersama barang rampasan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati kumpulan itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dan menjadikan rumah kedai yang disewa mereka sejak sebulan lalu sebagai tempat transit dadah.

Katanya, kumpulan itu turut memasang tujuh unit kamera litar tertutup (CCTV) di sekeliling rumah dan pintu masuk untuk memantau kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata, siasatan mendapati bom buatan sendiri itu diperbuat daripada belerang mercun dan sudah dimusnahkan sebaik sahaja ditemui.

Difahamkan, sebutir bom yang meletup mampu memusnahkan sebuah kereta.

"Kita masih menyiasat kenapa suspek memiliki senjata api dan bom terbabit serta pembabitan mereka dalam jenayah lain termasuk aktiviti keganasan.

"Turut disiasat adalah kemungkinan suspek menggunakan wang ditemui untuk perjudian bola sepak sempena Piala Dunia 2010," katanya.

Mohd. Shakaruddin berkata, ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif mengambil dadah jenis metamphetamine dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 34 tahun itu tidak mempunyai pekerjaan dan kini direman selama lima hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

eramin


estasi


syabu


sumber dr utusan malaysia online
Terima Kasih Sudi Membaca ! Singgahlah lagi !

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...