Tuesday, December 14, 2010

kemasukan ke IPTA, TEVT, ILKA secara online tahun depan

KUALA LUMPUR: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setarafnya boleh membuat permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi sesi pengajian 2011/2012 secara talian di www.upu.mohe.gov.my.

Menurut Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), permohonan kemasukan ke TEVT dan ILKA adalah terbuka kepada lepasan SPM atau setaraf, lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau lepasan Sekolah Menengah yang akan dilaksanakan secara serentak dengan permohonan kemasukan ke IPTA bagi lepasan SPM.
Institusi yang terbabit dalam kemasukan ke program sijil dan diploma di TEVT dan ILKA adalah Politeknik, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST).

Ia termasuk di Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Kolej Komuniti.

Menurut JPT, permohonan ke IPTA pula dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori A untuk lepasan SPM tahun ini, kategori B untuk lepasan SPM tahun lalu atau 2008, kategori C untuk lepasan SPM pada 2007 atau sijil setaraf yang diiktiraf IPTA.

Kategori D pula untuk pemohon yang menggunakan keputusan SPM 2008 dengan sijil ulangan SPM tahun lepas atau SPM 2008 dengan sijil ulangan SPM tahun ini atau SPM tahun lalu dengan sijil ulangan SPM tahun ini.

Oleh kerana jumlah permohonan adalah tinggi daripada kalangan pelajar lepasan SPM tahun ini, maka permohonan akan dilaksanakan secara dua fasa di mana fasa pertama membabitkan pendaftaran permohonan yang dibuka kepada pemohon melalui 1 November hingga 31 Disember ini manakala fasa kedua ialah pengesahan permohonan yang akan dibuka mulai 10 Jan mulai 12 tengah hari dan ditutup pada 4 April tahun depan.
Menurut JPT, sehingga 3 Disember lalu, sejumlah 46,127 permohonan telah diterima bagi fasa 1, dan jabatan itu mensasarkan 70 peratus daripada 467,766 calon lepasan SPM tahun ini akan mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup fasa 1 pada 31 Disember.

Manakala selebihnya adalah pemohon selepas keputusan rasmi SPM 2010 iaitu dalam fasa kedua yang akan berakhir pada 4 April 2011.

Orang ramai boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi di talian 03-88835801 atau 03-88835802 atau e-mel di upu@mohe.gov.my untuk sebarang pertanyaan. - BERNAMA

sumber : beritaharianonline
Terima Kasih Sudi Membaca ! Singgahlah lagi !

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...