Wednesday, November 03, 2010

Perdana Universiti ambil pelajar pertama Sept 2011

PUTRAJAYA: Universiti dan pusat penyelidikan kesihatan swasta bertaraf dunia, Perdana Universiti, di Serdang, Selangor yang membabitkan pelaburan hampir RM2 bilion, dijangka memulakan pengambilan kumpulan pelajar pertamanya September tahun depan.

Pengambilan membabitkan dua sekolah perubatan universiti berkenaan yang menjalin kerjasama dengan dua institusi perubatan terkenal dunia iaitu The John Hopkins University and John Hopkins Medicine International, Amerika Syarikat (AS) serta Royal College of Surgeons (RCSI) di Ireland.

Pengerusi Eksekutif Academic Medical Centre Sdn Bhd (AMCS), Tan Sri Dr Mohan Swami, berkata sementara menunggu kampus induk di Serdang, dijangka siap 2014, pelajar berkenaan ditempatkan di kampus sementara di ibu negara.
"Sekolah pertama membabitkan program ijazah empat tahun berdasarkan kokurikulum AS dengan kerjasama Sekolah Perubatan Universiti John Hopkins, manakala sekolah kedua menawarkan program ijazah lima tahun berdasarkan kokurikulum Ireland dengan kerjasama RCSI," katanya dalam kenyataan pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama syarikat itu dengan kerajaan Malaysia, RCSI dan The John Hopkins University and John Hopkins Medicine International, semalam.

Beliau mewakili AMCS, manakala Kerajaan Malaysia diwakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan RCSI diwakili Ketua Pegawai Eksekutif/Pendaftar, Prof Dr Cathal Kelly.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton,s emalam.

Selain dua sekolah perubatan, Universiti Perdana itu akan turut mempunyai hospital dengan 600 katil serta Pusat Penyelidikan Perubatan dan Sains Hayat.


sumber: beritaharianonline
Terima Kasih Sudi Membaca ! Singgahlah lagi !

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...