NABI Muhammad diutuskan membawa mesej Islam daripada Allah kepada semesta alam. Peranan dan tanggungjawab Baginda terlaksana dengan baik iaitu membawa dan memimpin manusia keluar daripada kejahilan kepada akidah Islamiah dan melonjakkan imej Islam. Nabi Muhammad adalah penganjur keamanan sejagat.
Tema Sambutan Maulidurrasul tahun ini ialah 1Malaysia 1Ummah. Ia bersesuaian dengan kebangkitan Rasulullah sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam yang boleh ditelusuri melalui penghayatan dan pengorbanan Nabi dalam menyebarkan agama Allah di samping mempraktikkan ajaran yang dibawanya ke arah kecemerlangan.
Rasulullah membawa akidah murni dengan paradigma tauhid, menyingkirkan sistem kepercayaan jahiliah, menyeru manusia percayakan Allah dan Nabi Muhammad adalah Rasul yang membawa ajaran Islam demi kebaikan dan kebahagiaan manusia di dunia serta akhirat. Rasulullah membawa transformasi kehidupan masyarakat dan negara dengan menyatupadukan sesama umat Islam dan dengan bukan Islam. Tiada formula dalam tamadun manusia bagaimana menyatukan manusia berlainan kepercayaan, keturunan, warna kulit, latar belakang dan ideologi. Kejayaan Rasulullah terpahat dalam sejarah tamadun manusia hasil pengorbanan Baginda dan sahabat memanifestasikan kesejagatan Islam.
Kegemilangan Islam bukan retorik. Umat Islam perlu menjadi umat terbaik dengan mempromosi formula kesejagatan Islam dalam menjana perpaduan dan integrasi nasional serta menyelesaikan masalah masyarakat pelbagai kaum. Nabi Muhammad sentiasa mencari penyelesaian secara damai dan persefahaman sebelum sesuatu peperangan bermula terutama dengan orang Yahudi dan Kristian serta musuh lain.
Dalam al-Quran (Surah Al-Baqarah: Ayat 90 dan Surah Al-Haj: Ayat 39) Allah secara jelas melarang serangan membuta-tuli termasuk kezaliman, kebiadapan dan pemusnahan. Matlamat utama umat Islam menyambut Maulidur Rasul setiap tahun ialah memperingati semua pengorbanan, tenaga, jasa dan perjuangan Baginda dalam melonjak dan memperjuangkan Islam yang menjadi agama anutan kita hari ini.
Kerana jasa Baginda, Islam menjadi agama dominan di dunia ketika ini dan penganut agama kedua teramai di dunia. Sejarah penyebaran Islam oleh Baginda adalah sirah yang sentiasa kita telaah untuk diambil pengajaran dan iktibar segala perilaku Rasulullah yang menjadi sumber inspirasi kita untuk mencapai kecemerlangan. Rasulullah adalah uswah hasanah (teladan yang baik) dan qudwah hasanah (ikutan dan kepemimpinan terbaik) bagi umat Islam. Semua sifat Nabi adalah keutamaan untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Allah berfirman bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu satu contoh yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia selalu menyebut dan mengingati Allah dalam masa susah dan senang” (Surah Al-Ahzab: Ayat 21).
Rasulullah diutus untuk menyebarkan risalah Allah, mendaulatkan ilmu dan membina peradaban manusia. Falsafah ‘iqra’ melahirkan peradaban berstatus dunia pada zaman keemasan Islam hingga orang Barat banyak belajar daripada cendekiawan dan peradaban Islam. Kita bukan saja harus menjadikan peradaban Islam menyumbang kepada kemajuan manusia dan penerokaan ilmu, bahkan membentuk sahsiah masyarakat.
Jika kita mahu Malaysia menjadi negara Islam contoh dan maju, anggota masyarakat perlu mengisi dada dengan ilmu pengetahuan sebanyak mungkin. Timba ilmu dan kemahiran sebagai persediaan membangun dan memajukan negara. Tanpa ilmu, kita akan kecundang. Masyarakat juga perlu merancang, menganjur, menyelaras dan mengendalikan program bagi tujuan kecemerlangan akademik dan sahsiah, ibadat, pendidikan, kemajuan ilmu fardu ain dan kifayah selain kemahiran menjulang nama Malaysia pada persada antarabangsa. Kita perlu memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan perubahan sikap serta menzahirkan akhlak Islam dalam kehidupan seharian. Jumlah umat Islam seramai 1.7 bilion di seluruh dunia kerana wujudnya usaha dakwah Rasulullah dan sahabat secara berkesan dan diteruskan oleh tabi’ dan tabi’in.
Justeru, sambutan Maulidur Rasul sepatutnya mengembalikan nostalgia indah akan sikap dan semangat proaktif Nabi Muhammad, sahabat serta ulama berdakwah, menyebarkan Islam dan mempertahankan maruah umatnya. Kejayaan Rasulullah menyebarkan dakwah adalah kerana Islam adalah agama yang mudah dipraktikkan. Baginda mempermudahkan dan tidak menyulitkan serta membawa khabar gembira mengenai nikmat syurga dan peringatan azab api neraka. Rasulullah adalah idola dari segi akhlak, akidah dan kepemimpinan. Baginda melakukan dakwah secara berstrategi, sistematik dan fokus. Proses penyebaran Islam dilakukan secara berterusan dan berperingkat mengikut keutamaan mencakupi persoalan prinsip dan dasar. Dalam dakwah, Baginda mengambil kira faktor demografi, mentaliti, latar belakang, sosial, budaya, sistem kepercayaan, ekonomi dan seumpamanya. Tiada diskriminasi bangsa dalam Islam. Umat Islam dalam negara ini perlu menggembleng tenaga untuk melipatgandakan dakwah.
Badan bukan kerajaan Islam juga perlu proaktif dan inovatif dalam melaksanakan dakwah supaya memberi impak tinggi. Perancangan dakwah perlu sistematik serta strategi. Kita juga perlu memantapkan perpaduan sesama umat dan bekerjasama dalam semua usaha dalam kerangka definisi dakwah. Berdakwah secara hikmah dan bijaksana adalah rahsia utama menggapai kejayaan usaha ini. Untuk menjadi yang terbaik, umat Islam perlu menguasai ilmu pengetahuan, berpegang teguh dengan al-Quran dan sunnah. Kita perlu aktif dan produktif dalam perniagaan pada semua peringkat. Kita juga perlu menguasai sains, teknologi dan maklumat bagi memartabatkan inisiatif dakwah serta maruah Islam. Dakwah dengan berkesan memberi kelangsungan wujudnya umat Islam di dunia. Kita mahu kecemerlangan, kebahagiaan dan kejayaan di dunia serta akhirat. Kecemerlangan tidak dapat dicapai melalui jalan pintas tetapi menuntut komitmen, perancangan teliti, usaha dan pelaksanaan berterusan serta daya juang yang tinggi. Tiada kejayaan tanpa sebarang pengorbanan dan tiada pengorbanan tanpa keikhlasan dan ketulusan hati.
artikel oleh Oleh Dr Amini Amir Abdullah
Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan,
Fakulti Ekologi Manusia, UPM
sumber : beritaharianonline
No comments:
Post a Comment