Sunday, August 01, 2010

petua dalam menamakan anak

Persoalan Agama: Nama disandang jadi doa, serlahkan sifat

Soalan: SAYA ingin tahu, adakah sebarang petua dalam Islam untuk kita menamakan anak?

Ingin tahu,
KULIM, KEDAH.

Jawapan:
DALAM Jame’ al-Fawaid, jilid 2, halaman 407 menyebut, Rasulullah SAW menjelaskan, “Hak anak terhadap ibu bapanya, antara lain adalah memberinya nama yang baik dan membentuk budi pekerti yang luhur.”

Oleh kerana itu, sering Rasulullah SAW mengubah nama buruk kepada nama yang baik seperti nama kota, nama manusia dan lain-lain. Contohnya, nama Yatsrib yang maksudnya ‘mengancam’ adalah nama lama yang diubah menjadi ‘al-Madinah’ oleh Rasulullah SAW yang maknanya ‘tempat peradaban.’

Ali Abi Talib menamakan anaknya ‘Harb’ (perang) yang turut diubah oleh Rasulullah SAW dengan nama ‘al-Hasan’ (yang baik). Umar menamakan anak perempuannya ‘Ashiyah’ (derhaka/pembangkang) dan diganti oleh Nabi SAW menjadi ‘Jamilah’ (cantik). Seorang wanita bernama ‘Barrah’ dinamakan Nabi SAW dengan nama ‘Zainab.’

Nama diberikan kepada anak antara lain agar nama itu menjadi doa untuknya, atau mengingatkan anak pada sesuatu yang berkaitan dengan namanya, atau agar dia mengambil teladan tokoh yang bernama sedemikian.
Ketika seorang memberi nama anaknya ‘Muhammad,’ ‘Musa’ atau ‘Aisyah,’ ‘Khadijah’ atau ‘Rabiatul Adawiyah’ maka yang diharapkan daripada nama ini adalah agar anak meneladani sifat-sifat tokoh berkenaan. Ketika si anak dinamakan ‘Hasan,’ ‘Jamil’ atau ‘Syifa’ (kesihatan/kesempurnaan), ‘Halimah’ (lapang dada), ‘Aminah’ (selalu berasa aman), maka ia adalah doa agar anak dapat memiliki sifat-sifat berkenaan.

Rasulullah SAW sering memperoleh kesan daripada sesuatu nama. Amat rumit perundingan Hudaibiyah dan silih berganti pimpinan delegasi musyrik, tetapi ketika ‘Sahl’ (mudah) tampil sebagai pimpinan delegasi musyrik, Nabi SAW bersabda, “Sudah dipermudah perundingan kita.” Dan ternyata kemudian, perundingan dengan delegasi kaum musyrik dipimpin oleh Sahl – dan yang menghasilkan perjanjian dengan Hudaibiyah itu berhasil dengan amat baik.

Sebelum berkecamuk Perang Badar, berlakulah terlebih dulu pertarungan tiga lawan tiga. Ali (yang tinggi) anak Abu Talib melawan al-Walid (anak kecil) anak Utbah, sedangkan bapa saudara Nabi SAW, iaitu Hamzah (singa) melawan Syaibah (orang tua) anak Rabiah. Ali dan Hamzah berjaya membunuh kedua lawannya, tetapi ‘Ubaidillah’ (si kecil, hamba Allah SWT) yang melawan ‘Utbah’ (yang dikecam perbuatannya) seimbang dalam perlawanan itu walaupun pada akhirnya atas bantuan Ali dan Hamzah, tokoh musyrik yang ketiga itu juga terbunuh.

Ahli sufi menilai bahawa nama yang mereka sandang itu, di samping menggambarkan sifat mereka, juga menjadi doa sehinggakan wajarlah jika hasil pertarungan itu seperti di atas.

Kita boleh bersetuju atau tidak dengan kesan di atas, namun yang jelas, nama dapat memberikan kesan baik sehingga menimbulkan rasa percaya diri atau buruk - sehingga menimbulkan rasa rendah diri paling tidak kepada anak yang diberi nama. Dari sini agaknya ada yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW menyatakan, “nama yang paling disukai Allah SWT adalah apa yang didengar Dia disembah.”

Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Tabarani. Juga ada riwayat lain yang menambah selepas ‘Dia disembah’ kata ‘Dia dipuji.” Kedua-dua hadis ini dinilai daif, sebagai mana dijelaskan oleh al-Albani dalam bukunya Silsilah al-Ahadis al-Dhaifah.

Akan tetapi hadis yang dinilai sahih adalah yang menyatakan, “Nama yang paling disukai di sisi Allah SWT adalah ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman.’ Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi melalui Wahab al-Jusyami. Demikianlah, wallahualam.

sumber dr berita harian online
Terima Kasih Sudi Membaca ! Singgahlah lagi !

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...