Soalan: SAYA ingin tahu, adakah sebarang petua dalam Islam untuk kita menamakan anak?
Ingin tahu,
KULIM, KEDAH.
Jawapan:
DALAM Jame’ al-Fawaid, jilid 2, halaman 407 menyebut, Rasulullah SAW menjelaskan, “Hak anak terhadap ibu bapanya, antara lain adalah memberinya nama yang baik dan membentuk budi pekerti yang luhur.”
Oleh kerana itu, sering Rasulullah SAW mengubah nama buruk kepada nama yang baik seperti nama kota, nama manusia dan lain-lain. Contohnya, nama Yatsrib yang maksudnya ‘mengancam’ adalah nama lama yang diubah menjadi ‘al-Madinah’ oleh Rasulullah SAW yang maknanya ‘tempat peradaban.’
Ali Abi Talib menamakan anaknya ‘Harb’ (perang) yang turut diubah oleh Rasulullah SAW dengan nama ‘al-Hasan’ (yang baik). Umar menamakan anak perempuannya ‘Ashiyah’ (derhaka/pembangkang) dan diganti oleh Nabi SAW menjadi ‘Jamilah’ (cantik). Seorang wanita bernama ‘Barrah’ dinamakan Nabi SAW dengan nama ‘Zainab.’
Nama diberikan kepada anak antara lain agar nama itu menjadi doa untuknya, atau mengingatkan anak pada sesuatu yang berkaitan dengan namanya, atau agar dia mengambil teladan tokoh yang bernama sedemikian.
Ketika seorang memberi nama anaknya ‘Muhammad,’ ‘Musa’ atau ‘Aisyah,’ ‘Khadijah’ atau ‘Rabiatul Adawiyah’ maka yang diharapkan daripada nama ini adalah agar anak meneladani sifat-sifat tokoh berkenaan. Ketika si anak dinamakan ‘Hasan,’ ‘Jamil’ atau ‘Syifa’ (kesihatan/kesempurnaan), ‘Halimah’ (lapang dada), ‘Aminah’ (selalu berasa aman), maka ia adalah doa agar anak dapat memiliki sifat-sifat berkenaan.
Rasulullah SAW sering memperoleh kesan daripada sesuatu nama.